Kota Kinabalu, 23 Januari 2025 – Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) hari ini melakar sejarah dengan pengisytiharan rasmi Pelabuhan SOGIP dan menandatangani Perjanjian Konsesi Pelabuhan bersama Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) dan SOGIP Port Sdn Bhd. Majlis yang bersejarah ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memacu pembangunan ekonomi negeri Sabah, khususnya dalam sektor minyak dan gas, perdagangan maritim, dan industri berat.

Pelabuhan Strategik untuk Sabah dan Malaysia
Pelabuhan SOGIP, yang terletak di Sipitang, bakal menjadi pelabuhan moden dan canggih yang memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai pusat perdagangan dan industri utama di Malaysia. Dengan lokasi strategiknya, Pelabuhan SOGIP dijangka menjadi pintu masuk utama untuk perdagangan antarabangsa, memacu pertumbuhan ekonomi negeri, dan membuka peluang baru dalam sektor perniagaan dan logistik.
Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah Urusan SOGDC, Datuk Harun Ismail berkata, “Pelabuhan SOGIP bukan sahaja melambangkan infrastruktur strategik tetapi juga simbol pembangunan mampan yang akan memberi impak besar kepada Sabah dan Malaysia. Projek ini akan memperkasa ekosistem industri minyak dan gas serta memberikan manfaat langsung kepada masyarakat setempat.”

Infrastruktur dan Perkhidmatan Pelabuhan SOGIP
Di bawah Pelan Pembangunan Induk SOGIP (SMDP), pembangunan Pelabuhan SOGIP akan merangkumi pelbagai kemudahan utama, termasuk:
• Jeti Kargo Am yang menyediakan dermaga kontena dan dermaga kargo break bulk,
• Jeti Kargo Cecair,
• Single Buoy Mooring (SBM),
• Jeti Kargo Kering, dan
• Jeti PETRONAS.
Selain itu, kemudahan tambahan seperti ‘Barge Landing’ atau Material Offloading Facility (MOLF) turut disediakan. Jeti PETRONAS khususnya jeti ZLNG dan SAMUR, mengendalikan pengeksportan produk seperti LNG, ammonia, dan urea.
Jeti Kargo Kering pula dijangka mampu menampung kapal Valemax dengan panjang keseluruhan 380 meter dan berat muatan sehingga 400,000 DWT. Jeti ini direka khusus untuk mengendalikan kargo bijih besi (iron ore) secara pukal.
Sebagai tambahan, Bangunan Menara Kawalan dan One-Stop Center Pelabuhan SOGIP juga akan dibina untuk menyokong operasi pelabuhan dan memperkukuh perkhidmatan logistik di kawasan ini. Selain itu, perkhidmatan marin yang disediakan merangkumi pilotage, towage, gudang berikat, dan logistik sokongan, menjadikan Pelabuhan SOGIP sebagai hab pelabuhan serba guna yang komprehensif.
Kesan Positif kepada Ekonomi dan Rakyat Sabah
Pelabuhan SOGIP dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Sabah dan Malaysia. Pelabuhan ini akan:
• Membuka peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat,
• Memperkasa perniagaan tempatan dan antarabangsa,
• Menarik pelaburan global yang signifikan ke negeri Sabah.
“Pelaburan dan perkembangan ini akan membawa pertumbuhan ekonomi berantai yang amat bermanfaat untuk rakyat Sabah. Dalam jangka masa panjang, Pelabuhan SOGIP akan menjadi pusat utama perdagangan global, dan dalam jangka masa pendek, ia akan menjadi peluang besar untuk pemain logistik dan pengangkutan tempatan,” tambah beliau.

Komitmen kepada Tadbir Urus Cemerlang
SOGDC juga mengumumkan pencapaiannya sebagai organisasi pertama di Sabah yang menerima pensijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS), ISO 37001:2016, daripada Bureau Veritas Malaysia. Pensijilan ini, bersama ISO 9001:2015 untuk Sistem Pengurusan Kualiti, menegaskan komitmen SOGDC terhadap tadbir urus yang beretika dan integriti operasi yang tinggi.
Penghargaan dan Harapan Masa Depan
SOGDC ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada:
- Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah,
- Yang Berhormat Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Timbalan Ketua Menteri III, Menteri Kerja Raya Sabah,
- Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah,
- Semua barisan kepimpinan kabinet negeri,
- Ahli Lembaga Pengarah SOGDC,
- Ahli Lembaga Pengarah LPPS, dan
- Ahli Lembaga Pengarah Pelabuhan SOGIP serta semua pihak berkepentingan atas sokongan berterusan mereka dalam menjayakan projek ini.
Dengan usaha bersama, Pelabuhan SOGIP akan menjadi pelabuhan moden bertaraf dunia, simbol kemajuan ekonomi Sabah, dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

