16 Januari 2026 – SOGDC merakamkan penghargaan dan ucapan selamat datang kepada Yang Berhormat Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi SOGDC bertaraf Menteri. Lawatan rasmi pertama beliau ke SOGDC telah berlangsung dalam suasana penuh bermakna menerusi sesi taklimat yang disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Tuan Mohd Azmir Bin Datuk Ramli, bersama barisan kepimpinan kanan syarikat.
Sepanjang sesi tersebut, Yang Berhormat Datuk berkongsi hala tuju kepimpinan beliau yang menekankan aspek tadbir urus korporat, pemantauan prestasi organisasi serta pengurusan anak-anak syarikat SOGDC secara berkesan. Beliau turut memberi penekanan terhadap perancangan pelaburan jangka panjang yang berimpak tinggi, selain memastikan komitmen pelaburan sedia ada dapat direalisasikan mengikut perancangan.
Seluruh warga kerja SOGDC menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan penuh terhadap kepimpinan dan visi Pengerusi, dengan semangat kerjasama yang kukuh serta komitmen berterusan dalam memelihara persekitaran kerja yang profesional, berintegriti dan sejahtera.
Pelantikan kepimpinan baharu ini menjadi pemangkin kepada SOGDC untuk terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu pembangunan strategik negeri, dengan matlamat mewujudkan pertumbuhan yang lestari dan manfaat jangka panjang kepada sosioekonomi Negeri Sabah.